Harian Metro

Pelaburan RM1.35b

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
METERAI...Dr Mohd Ghouse (kiri) bertukar dokumen dengan Dr Raj sambil disaksikan Nazri di Ipoh, Perak semalam.
METERAI…Dr Mohd Ghouse (kiri) bertukar dokumen dengan Dr Raj sambil disaksikan Nazri di Ipoh, Perak semalam.

NEGERI Perak bakal menjadi tapak projek pelancongan kesihatan terbesar di Asia Tenggara yang menyediakan kemudahan dan perkhidmatan kesihatan bersepadu apabila projek mega Perak Medi Super Coridor (PMSC) dilaksanakan kelak.

Projek bernilai RM1.35 bilion yang bakal dibangunkan di atas tanah seluas 468 hektar itu mencakupi pembinaan hospital pakar, pusat kesihatan, sebuah hotel, kampus universiti antarabangsa, pusat penyelidikan, ladang organik, taman tema dan pelbagai lagi.

Pengarah Urusan Kumpulan Mutiara Healthtech Sdn Bhd, Dr Mohd Ghouse Mohd Noor berkata, projek mega itu akan menjadikan Perak negeri terulung dalam sektor pelancongan kesihatan bagi pasaran dalam dan luar negara.

Menurutnya Kumpulan Mutiara Healthtech Sdn Bhd sebelum ini cuba mencari tapak sesuai di Melaka, Pulau Pinang dan negeri pelancongan yang lain, namun Perak mempunyai potensi besar menjayakannya.

“Tapak itu juga mampu menyediakan panorama menarik,” katanya selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Mutiara Healthtech dengan Universiti Middlesex, di Ipoh, semalam.

Projek mega itu bakal menempatkan Mutiara Healthtech di samping sebuah kampus Universiti Middlesex yang menawarkan pelbagai perkhidmatan rawatan kesihatan, proses penyembuhan holistik untuk pesakit sehinggalah kepada pengeluaran graduan dalam bidang perubatan.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor dan Naib Canselor Universiti Middlesex United Kingdom, Prof Teryy Butland dan Prof Dr Raj Gill serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manjoi, Datuk Nazri Ismail.

“Projek ini bakal menyediakan satu proses penyembuhan holistik untuk pesakit dan keluarga mereka. sekali gus menjadikan usaha ini suatu yang eksklusif dan istimewa,” katanya.

Fasa pertama PMSC akan dibangunkan awal tahun hadapan dengan pembinaan hospital pakar dilengkapi 120 katil, pusat kesihatan, resort kesihatan, hotel serta kampus universiti.

Dr Ghouse berkata, seluruh projek terbabit dijangka siap dalam masa dua setengah tahun.

Beliau berkata, kewujudan Universiti Middlesex kelak diyakini akan meningkatkan lagi bilangan pengeluaran graduan yang berpotensi besar dalam bidang kesihatan dengan pelbagai kursus ditawarkan.

Universiti Middlesex ketika ini mempunyai 22,000 penuntut daripada 130 buah negara di kampus utamanya di London, United Kingdom.

http://www.hmetro.com.my/articles/PelaburanRM1_35b/Article