Utusan Malaysia

Middlesex University buka cawangan di Ipoh

Mohd. Ghouse Mohd. Noor (kiri) bertukar dokumen dengan R. Gill sambil disaksikan oleh Nadzri Ismail di Ipoh, kelmarin.


IPOH 26 Julai – Middlesex University, sebuah universiti yang berpusat di London bakal membuka kampus cawangannya di Perak Medi Super Coridor (PMSC) yang akan dibangunkan oleh Mutiara Healthtech Sdn. Bhd. pada suku pertama tahun depan.

Pengarah Urusan Kumpulan Mutiara Healthtech Sdn. Bhd., Dr. Mohd. Ghouse Mohd. Noor berkata, ia bakal menawarkan kursus di peringkat siswazah dan pasca siswazah dalam pelbagai bidang.

“Kita telah bertemu dengan Timbalan Naib Canselor Antarabangsa Middlesex University, Prof. Dr. Terry Butland pada awal tahun ini dan telah menyatakan kesungguhan kami untuk membangunkan kampus cawangannya di Malaysia.

“Kita berharap PMSC bukan sahaja akan dikenali sebagai kawasan pelancongan perubatan yang komprehensif dan yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara, tetapi juga mempunyai sebuah universiti swasta terkemuka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Mutiara Healthtech Sdn. Bhd. dan Middlesex University bagi penubuhan cawangan kampus tersebut di Perak di sini, semalam.

Kumpulan Mutiara Healthtech diwakili oleh Mohd. Ghouse sementara Middlesex University pula diketuai oleh Pro Naib Canselornya, Prof. Dr. R. Gill sambil disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Nadzri Ismail.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif Kumpulan Beta Mutiara Corporation Berhad, Datuk Bahadon Ariffin.

Projek PMSC berkeluasan 473 hektar di bawah pembiayaan Elaf Bank, Bahrain bernilai kira-kira RM1.35 bilion bakal dibangunkan di sepanjang jalan menuju ke Cameron Highlands melalui Simpang Pulai yang hanya mengambil perjalanan 15 minit dari bandar raya Ipoh.

PSMC yang dilihat berpotensi untuk dikembangkan sebagai kawasan perlancongan perubatan di Perak akan memberi keutamaan kepada pemeliharaan alam semula jadi sesuai dengan tapak lokasinya yang berdekatan dengan air panas Sungai Anak Ayer China serta beberapa air terjun seperti Chelik dan Lubuk Timah.

Fasa pertama pembangunan PSMC yang dijangka mengambil masa selama dua tahun setengah akan menyaksikan pembinaan hospital pakar dilengkapi 120 katil diikuti oleh pusat kesihatan yang menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan komplimentari.

Selain menempatkan kampus cawangan Middlesex University di situ, ia juga akan dilengkapi dengan resort kesihatan termasuk hotel dan kawasan perumahan.

Sementara itu, Gill berkata, pembinaan kampus cawangan Middlesex University di atas tanah seluas 20 hektar bagi fasa pertama di PSMC akan menjadikan ia sebagai kampus antarabangsa keempat selepas Dubai, Mauritius dan India.

Menurutnya, Middlesex University di London kini mempunyai 22,000 penuntut dari 130 negara.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0727&pub=Utusan_Malaysia&sec=Utara&pg=wu_02.htm