Peraknews.com

Perak Bakal Bina Koridor Kesihatan bernilai RM1.3 bilion

Sebuah projek mega Perak Medi Super Coridor (PMSC) dijangka bakal dibangunkan di negeri Perak yang mampu menyediakan kemudahan dan perkhidmatan kesihatan bersepadu di negeri ini sekaligus menjadikannya sebagai projek pertama di Asia Tenggara.

Projek bernilai RM1.35 bilion yang dibina atas keluasan 468 hektar ini bakal mengandungi sebuah hospital pakar, pusat kesihatan, sebuah hotel, kampus universiti antarabangsa, pusat-pusat penyelidikan, ladang organic, taman tema dan pelbagai lagi.

Projek ini bakal menempatkan Mutiara Healthtech di samping sebuah kampus Universiti Middlesex bakal menawarkan pelbagai perkhidmatan kesihatan daripada rawatan, proses penyembuhan holistik untuk pesakit sehinggalah kepada pengeluaran graduan dalam bidang perubatan.

Pengarah Urusan Kumpulan MutiaraHealthtech Sdn. Bhd. Dr Mohd Ghouse Mohd Noor berkata, projek yang bakal dibangunkan ini akan menjadikan Perak negeri terulung dalam sektor pelancongan kesihatan bagi pasaran dalam dan luar negara.

“Sebelum ini, syarikat kami cuba mencari tapak projek di negeri Melaka, Pulau Pinang dan negeri pelancongan yang lain tetapi setelah menerima cadangan untuk membangunkannya di Perak, kami melihat potensi besar dengan adanya segala kemudahan, tambahan lagi kedudukannya yang strategi di tepi lebuhraya.

“Kawasan tapak ini juga mampu menyediakan tempat menarik untuk pelancong dengan panorama yang luar biasa yang indah dan sememangnya menepati kriteria untuk membangunkan projek mega ini,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani Memorendum Persefahaman (MOU) antara Mutiara Healthtech dengan Universiti Middlesex, di Ipoh, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor dan Naib Canselor Universiti Middlesex United Kigdom Prof Teryy Butland dan Prof Dr Gill serta ADUN Manjoi, Datuk Nazri Ismail.

“Projek ini bakal menyediakan satu proses penyembuhan holistik untuk pesakit dan keluarga mereka, sekaligus menjadikan usaha ini suatu yang eksklusif dan istimewa,” katanya.

Fasa pertama PMSC akan mula dibangunkan awal tahun hadapan dengan pembinaan Hospital Pakar 120 katil , Pusat Kesihatan yang menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan komplimentari, resort kesihatan, hotel serta kampus universiti menjelang awal tahun hadapan .

Dr Ghouse berkata, keseluruhan projek ini dijangka bakal mengambil masa dua setengah tahun untuk siap sepenuhnya.

Katanya, dengan adanya Universiti Middlesex yang akan dibina di atas tanah seluas 40 hektar ia dijangka bakal meningkatkan lagi bilangan pengeluaran graduan yang berpotensi besar dalam bidang kesihatan dengan pelbagai kursus yang ditawarkan.

Universiti Middlesex ketika ini mempunyai 22, 000 penuntut daripada 130 buah negara di kampus utamanya di London, katanya.

Ia juga mempunyai cawangan di Dubai, Mauritius dan India, katanya.

“Projek Perak Medi Super Coridor ini akan menjadi kemegahan untuk Malaysia dan rantau ini sekaligus meletakkan Perak dan Malaysia di pentas dunia, “ katanya

http://www.peraknews.com/v3/perak-bakal-bina-koridor-kesihatan-bernilai-rm1-3-bilion/